A Hot Mompreneur

Cerita Kelahiran Maryam Tihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera, mom nak tinggal kat sini kenangan cerita kelahiran Maryam Tihani.

Maryam pada sambutan hari lahir ke-4

TURUN DARAH SEBAGAI TANDA

Waktu Subuh hari Jumaat 4 tahun yang lepas, saya sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat. Saya ke tandas sebab terasa seperti ingin buang air kecil. Tapi sebaliknya ada ketulan yang keluar. Kelihatan merah pekat dalam mangkuk tandas.

Saya terus jerit panggil suami dan beritahu yang saya dah keluar tanda untuk melahirkan. Waktu itu kandungan berusia 39 minggu dan 3 hari. Suami terus ajak saya ke hospital. Saya minta beliau sabar sebab nak solat dahulu. Lagipun masih boleh tahan sakit kontraksi.

ESP sangat membantu bekalkan tenaga yang lama

Selepas solat, ibu mertua siapkan bihun goreng dan suami bancuh ESP bersama milo. Saya hanya minum untuk tenaga meneran sekejap lagi. Tak lalu nak menjamah bihun goreng. Setelah minum, saya dan suami bergegas ke Hospital Kota Bharu. Tinggal Amanda Imani, puteri sulung kami bersama Tok Ummi dan Tok Ayah sementara mom berjuang. Kebetulan kami pulang untuk menjenguh ummi dan ayah tapi memang saya dah bersedia dengan pakaian bayi dan kelengkapan lain.

SAKIT KONTRAKSI SEJAK SEMALAM

Sebenarnya, sakit kontraksi ni dah semalaman saya tahan. Seperti anak pertama, saya tunggu hingga pecah ketuban sebelum buat keputusan untuk ke hospital.

Projek habiskan lipstick mom

Tapi untuk anak kedua, atas desakan suami dan ibu bapa mertua, saya akur. Walaupun belum pecah ketuban, kami terus ke hospital.

Sampai di hospital, bukaan sudah 3cm. Sementara menunggu fasa aktif kelahiran iaitu 4 cm, saya dibenarkan berehat atas katil. Namun hanya boleh berbaring kerana CTG telah dipasang. CTG ialah alat untuk pemeriksaan keadaan jantung bayi dan kontraksi. Sewaktu melayan kontraksi, terasa seperti panas dan bawah punggung seperti basah. Saya pasti itu bukan kencing sebab tak rasa keluar. Sah. Air ketuban dah pecah.

Saya panggil doktor untuk pemeriksan. Bukaan sudah 4cm. Saya terus ditolak masuk ke dalam dewan bersalin.

PENANTIAN FASA KEDUA

Sambil mulut terkumat-kamit tak berhenti membaca doa ini,

Tangan saya memegang erat tangan suami. Sesekali saya mengacip bibir kerana sakit yang teramat. Sambil minta suami urutkan belakang, walaupun tidak hilangkan sakit tapi ia memberikan ketenangan kepada saya.

Waktu ini, kontraksi sudah semakin kuat. Terasa seperti dipulas dari pinggang hingga ke bawah. Ada juga rasa seperti ingin buang air besar tapi bila ke tandas, hampa, bukan air besar yang keluar. Risau nak meneran takut terkeluar bayi dalam mangkuk tandas.

Saya hanya berdoa dan minta suami doakan dan redha atas saya. Saya percaya redha dan doa suami akan mudahkan urusan bersalin.

MASA UNTUK MENERAN

Dalam masa tak sampai 1 jam, bukaan 10cm dan doktor arahkan saya untuk meneran apabila terasa ada kontraksi.

Saya mengumpul tenaga dan meneran sekuat hati apabila sakit kontraksi terasa. Alhamdulillah, dengan beberapa kali teran, puteri kami yang kedua telah selamat dilahirkan yang kami namakan Maryam Tihani binti Mohd Farid.

Banyak aksi cilik dan mimik muka budak ni

 

Papa orang pertama yang tukarkan baju dan pampers Maryam

 

DI SEBALIK NAMA

Sekitar tahun 2015, ketika saya hamil, saya masih ingat pelbagai dugaan dan cabaran yang kami tempuhi. Ia adalah antara tahun yang paling berat dugaan untuk kami sebagai suami dan isteri setakat ini.

Sepanjang itulah saya terpaksa kuat kerana tiada pilihan. Ia sangat mengingatkan saya kepada Maryam, Ibu kepada Nabi Isa yang sangat kuat ketika diuji berhadapan dengan kaumnya. Simbolik dari kekuatan itu, saya memilih nama Maryam.

Tihani pula bermaksud bahagia.

Bahagialah walau apa yang berlaku selagi kita tahu bahawa Pemilik bahagia sentiasa ada bersama.

Semoga Maryam Tihani membesar menjadi saham Syurga untuk Mom&Papa, menyejukkan mata dan membahagiakan orang-orang di sekelilingmu, anak.

Anak solehah

Sayang hingga ke Syurga,

Mom

27/11/2019,2300

Tags:

Leave a Reply

Whatsapp Nina Salleh